Thursday, March 3, 2011

Hati-hati dengan perbankan Internet - Polis

KUALA LUMPUR 2 Mac - Polis mengingatkan para pengguna perkhidmatan perbankan Internet agar tidak mudah terpedaya dengan e-mel, khidmat pesanan ringkas (SMS) atau panggilan telefon yang meminta mereka mendedahkan maklumat perbankan.

Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Asisten Komisioner Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, kes penipuan melibatkan perbankan Internet meningkat dengan amat ketara.

"Mengikut statistik, pada 2009, 75 kes penipuan melalui perbankan Internet dilaporkan dengan kerugian berjumlah lebih RM200,000 dan ia terus meningkat dengan 353 kes dan kerugian kira-kira RM1.2 juta, pada tahun lepas," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, siasatan mendapati kebanyakan mangsa terdiri daripada pengguna Maybank2U yang terpedaya dengan modus operandi digunakan melalui penghantaran e-mel kepada pengguna.

"E-mel yang berbentuk 'Security Alert' itu kemudian mengarahkan mangsa mengemas kini akaun perbankan Internet mereka dengan memasukkan kata nama, kata laluan dan nombor TAC.

"Ia kononnya bagi tujuan keselamatan bank dan mengelakkan akaun mereka dibatalkan," katanya.

Katanya, mangsa bagaimanapun hanya mengetahui mereka ditipu setelah menerima SMS dari pihak bank yang memaklumkan wang mereka telah dipindahkan ke akaun ketiga.

"Untuk makluman pengguna, pihak bank tidak menggunakan perkhidmatan e-mel untuk tujuan kemas kini akaun perbankan Internet.

"Sehubungan itu, sekiranya pengguna menerima e-mel sedemikian, sila abaikannya," katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes penipuan perbankan Internet boleh menyalurkan maklumat tersebut ke Pusat Kawalan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman di talian 03-26163999.
Pautan: Syafrein.com, Takaful Keluarga, Dompas.Net, Guided-Info.com, Munakahat, Riau.cc, NikahKahwin.Co.Cc, Make Money So EZ