Monday, March 10, 2008

Pasaran saham digantung, IKKL junam 130 mata

10/03/2008 3:19pm

KUALA LUMPUR 10 Mac. - Keseluruhan kaunter - kaunter saham di Bursa Malaysia terpaksa digantung urus niaga untuk tempoh sejam hari ini bermula pada pukul 2.58 petang ini ekoran kejatuhan teruk pasaran saham.

Peniaga berkata, pengendali pasaran saham Kuala Lumpur, Bursa Malaysia Bhd. telah melaksanakan langkah `Penampan Kejatuhan atau Circuit Breaker’ berikutan kejatuhan penanda aras, Indeks Komposit Kuala Lumpur (IKKL) yang melebihi 10 peratus hari ini.

“Ini pertama kali IKKL susut lebih 10 peratus dalam tempoh tak sampai satu hari dan ini juga merupakan kali pertama pelaksanaan `Penampan Kejatuhan’ ini dibuat oleh Bursa Malaysia sejak ia diperkenalkan 10 tahun lalu.

“Kebimbangan dan kekeliruan berhubung arah tuju ekonomi dan dasar pembangunan ekoran kemenangan tipis Barisan Nasional pada pilihan raya umum ke-12 Sabtu lalu, telah menyebabkan pelabur-pelabur menjual pegangan secara besar-besar sejak awal pagi tadi,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Sebelum digantung urus niaga, IKKL merekod kejatuhan sebanyak 130.01 mata atau 10.03 peratus untuk berada di paras 1,162.32 mata.

Sumber: Utusan Malaysia untuk tujuan dokumentasi. Akhbar & Majalah dikelola oleh Syafrein Effendiuz yang juga editor Majalah.Dompas.net, Dompas Network, ArticleCentral dan Artikel Sentral. Dia juga mengelola beberapa blog: Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, Jason Tan, dan lain-lain.

Saturday, March 1, 2008

Azhar tinggal kerjaya korporat tanam cendawan

KUALA SELANGOR 29 Feb. – Seorang akauntan sanggup meninggalkan kerjaya dengan sebuah syarikat korporat terkenal, semata-mata mahu menceburi industri tanaman cendawan dan usahanya itu ternyata berbaloi.

Walaupun tidak sampai setahun memulakan bidang itu, Azhar Abdul Rahman, 47, kini mampu memperoleh pulangan lumayan lebih RM300 sehari hasil tuaian cendawan tiram kelabu yang diusahakannya.

Mengusahakan tanaman di rumah cendawan dengan hanya keluasan 30.5 meter x 12 meter yang mengandungi 30,000 kompos, Azhar mampu mengeluarkan antara 40 kilogram hingga 50 kilogram sehari.

Berkat pertumbuhan ekonomi negara yang kukuh dan stabil, hasil cendawannya itu mudah dipasarkan, malah ia masih belum mencukupi untuk memenuhi permintaan pasaran.

“Berbaloi saya berhenti kerja, selain dapat merasai bagaimana usaha gigih untuk bergelar usahawan dan tidak lagi sekadar makan gaji, saya juga kini mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

“Oleh itu, saya menggalakkan golongan belia yang berminat, menceburi bidang ini yang ternyata boleh memberikan pulangan lumayan,” katanya kepada Utusan Malaysia di Kampung Bukit Kerayong, Jeram di sini hari ini.

Sehingga kini, dia hanya membekalkan cendawan kepada lima pembeli tetap yang kemudiannya menjual secara terus kepada orang ramai.

“Bayangkan jika saya membekalkan kepada restoran-restoran besar atau pasar raya besar, sudah tentu memerlukan bekalan yang lebih banyak.

“Sehingga kini, bekalan cendawan yang dikeluarkan oleh pengusaha-pengusaha seperti saya masih belum mampu memenuhi permintaan pasaran. Oleh itu, peluang dalam bidang ini sangat cerah sekali,” ujarnya.

Azhar memberitahu minatnya menceburi bidang itu timbul bagi menyahut seruan kerajaan yang menggalakkan rakyat menyertai sektor pertanian bagi menampung keperluan makanan negara.

Dia memilih tanaman cendawan kerana minat yang mendalam selain tidak memerlukan kawasan luas seperti ternakan kambing dan lembu.

Sebaliknya, dengan hanya kawasan yang kecil, rumah cendawan sudah boleh dibina.

Azhar memulakan usahanya itu dengan hanya berbekalkan modal permulaan sebanyak RM35,000 hasil simpanan sendiri tanpa perlu membuat pinjaman.

Menurutnya, bagi mendapatkan hasil yang berkualiti, penjagaan kebersihan rumah cendawan perlu diberi perhatian.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati tidak ada seekor pun lalat berterbangan di situ walaupun kawasan persekitarannya lembap.

Perhatian yang diberikan terhadap aspek kebersihan juga membolehkan Azhar mampu mengutip hasil sebanyak 12 kali sejak memulakan tanaman cendawan itu Mac tahun lepas.

“Sedangkan kalau menanam cendawan dengan teknik-teknik yang betul, pengusaha boleh mengutip hasil sehingga lapan kali setahun tetapi saya berjaya buktikan dapat mengutip lebih daripada itu,” katanya yang turut menyediakan khidmat kursus kepada mereka yang berminat menceburi bidang itu.

Sumber: Utusan Malaysia untuk tujuan dokumentasi. Akhbar & Majalah dikelola oleh Syafrein Effendiuz yang juga editor Majalah.Dompas.net, Dompas Network, ArticleCentral dan Artikel Sentral. Dia juga mengelola beberapa blog: Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, Making money from home just got easier, Jason Tan, dan lain-lain.