Wednesday, December 16, 2009

Pengarah Buluhmas didakwa kali ketiga

KUALA LUMPUR 15 Dis. - Selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Klang atas 31 tuduhan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram, seorang pengarah syarikat pengiklanan, Buluhmas Enterprise Sdn. Bhd. hari ini menghadapi satu lagi tuduhan serupa di Mahkamah Sesyen di sini.

Ame Hamzah Mat Atar, 51, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan tersebut dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim S. M. Komathy Suppiah.

Lelaki itu didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu memiliki wang RM2,113,208.54 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram di tingkat bawah CIMB Bank Berhad di sini pada 6 Januari lalu.

Dia didakwa mengikut subseksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 dibaca bersama subseksyen 87(1)(a) akta sama yang memperuntukan hukuman penjara lima tahun dan denda sehingga RM5 juta jika disabitkan kesalahan.

Peguam bela, Md. Yunos Sharip yang mewakili tertuduh memohon agar kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Klang untuk dibicarakan bersama-sama kes terdahulu.

Berikutan itu, beliau juga memohon agar jaminan tidak dikenakan kerana Hakim Mahkamah Sesyen Klang telah menetapkan jaminan sebanyak RM350,000 ke atas Ame Hamzah.

Komathy membenarkan permohonan peguam itu selepas tiada bantahan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Bank Negara Malaysia (BNM), Farez Rahman dan Ungku Alfiati Ungku Ismail.

Pada 16 Oktober lalu, pengarah tersebut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Klang atas tuduhan menerima deposit daripada orang ramai tanpa lesen yang sah.

Dia kemudian mengaku tidak bersalah apabila didakwa kali kedua pada 22 Oktober lalu bersama anak lelakinya Azmi, masing-masing atas 31 dan 38 tuduhan yang sama membabitkan RM22 juta.

Azmi yang juga merupakan pengarah syarikat yang beribu pejabat di Taman Raden Jaya dekat sini, dibebaskan dengan jaminan RM200,00.

Selain pengiklanan, syarikat yang beroperasi di Selangor dan Negeri Sembilan itu terlibat dalam industri perniagaan runcit melalui kedai serbaneka, Buluh Mart yang memasarkan barangan industri kecil dan sederhana (IKS) seperti makanan ringan serta ubat herba.

Sumber: Utusan Malaysia untuk tujuan dokumentasi. Pautan:Syafrein.com, Dompas Network, Guided-Info.com, Artikel Sentral, Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, Manggis.info

No comments: